infokito

Portal Palembang – Jembatan informasi dari kito untuk kito bersamo

Musafir dan Jamak Qasar

Posted by infokito™ pada 8 Juli 2016

Allah SWT memberi dua kemudahan kepada yg MUSAFIR untuk melaksanakan solat iaitu JAMAK dan QASAR.

Untuk seseorang itu mendapat kelayakan rukhsah (keringanan) solat musafir (jamak dan qasar), dia mestilah menepati beberapa syarat. Berikut adalah syarat2 yg dimaksudkan:
PERTAMA : Mestilah berada di dalam keadaan bermusafir iaitu perjalanan ke destinasi sekurang2nya dua marhalah (2 marhalah ditetapkan -mengikut ukuran KM- antara 85KM – 90KM).
KEDUA : Perjalanannya telah melepasi pagar qaryah (boleh diterjemahkan sebagai kawasan kampung, taman perumahan, mukim atau daerah mengikut uruf setempat yg dia tinggal).
KETIGA : Tidak mengikuti Imam solat yg bermukim jika ingin menqasarkan solat.
KEEMPAT : Tidak berniat menetap selama empat (4) hari atau lebih di tempat yg dituju selain pada hari mula sampai (perjalanan hendak pergi) dan pada hari akan keluar dari destinasi (perjalanan hendak kembali).
(Rujuk: al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam as-Syafi’e, Jilid 1, Bab Solat Musafir)

HUKUM YANG DISALAH ARTI

Syarat KEEMPAT adalah merupakan perkara yg PALING DISALAHARTIKAN oleh ramai orang. Sehingga mereka menyangka jika sudah merancang untuk menetap di sesuatu tempat (contohnya) 2 minggu, maka sangkaannya masih boleh jamak dan qasar solat dalam tempoh tiga hari. Sedangkan yg demikian adalah sangkaan yg salah dan tidak bertepatan dengan apa yg termaktub di dalam kitab2 Fiqh Mazhab Syafi’e.

Yang betulnya jika seseorang yg menetap (contohnya) di Shah Alam merancang dgn MENETAPKAN untuk berada (contohnya) di Kota Bahru selama 7 hari. Maka dia hanya dibenarkan untuk jamak dan qasar ketika dalam perjalanan sahaja dan setibanya di destinasi dia sudah menjadi orang yg bermukim (tidak boleh lagi jamak dan qasar).

MENGAPA TIDAK BOLEH LAGI JAMAK DAN QASAR?

Ini kerana apabila seseorang itu BERAZAM untuk menetap (contohnya) di Kota Bahru lebih dari 3 hari, ini bermakna ia telah BERNIAT BERMUKIM di destinasi itu, maksudnya telah menentukan berapa lama akan berada di destinasi, maka apabila dia sampai ke destinasi tersebut, dia sudah mendapat status sebagai orang yg bermukim bukan lagi musafir.

Sedangkan rukhsah (keringanan) solat musafir itu hanya diizinkan oleh Allāh Ta’ala bagi orang yg berstatus MUSAFIR, sepertimana Allāh berfirman di dalam Surah al-Nisa’, Ayat 101:
وإذا ضربتم في الأرض فليس عليكم جناح أن تقصروا من الصلاة . (النساء: 101)
Maksudnya: “Dan apabila kamu MUSAFIR di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “menqasarkan” (memendekkan) solat jika kamu takut diserang oleh orang2 kafir.”
Permasalahan ini telah dijelaskan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullāh di dalam karangannya ‘Mihaj al-Tolibin’, menurut beliau:
ولو نوى إقامة أربعة أيام بموضع انقطع سفره بوصوله، ولا يحسب منها يوما دخوله وخروجه على الصحيح
Maksudnya: “Jika seseorang berniat mukim (iqamah) selama 4 hari di destinasi maka terputus (hukum) musafirnya dgn ketibaannya (di destinasi) dan tidak dikira dari tempoh itu hari dia masuk (ke destinasi) dan keluar (dari destinasi) menurut pendapat yg sahih.”
Menurut kenyataan Imam an-Nawawi di atas, tempoh seseorang itu mendapat status mukim ialah 4 hari, jika seseorang itu berazam atau berniat untuk menetap (contohnya) Kota Bahru selama 3 hari atau kurang dari itu, maka dia masih boleh melakukan solat musafir (jamak dan qasar) selama tempoh itu walaupun sudah sampai atau berada di destinasi. Ini kerana dia masih dalam keadaan musafir.

APAKAH MAKSUD ‘TIDAK TERMASUK HARI KELUAR DAN MASUK’?

Menurut mazhab Imam as-Syafi’e, tempoh untuk menentukan seseorang itu berstatus mukim ialah menetap di sesuatu tempat selama 4 hari atau lebih, tetapi tidak dikira hari perjalanan ke destinasi dan hari pulang. Sebagai contoh:

Situasi 1:

Ahmad akan bercuti di Kota Bahru selama 7 hari iaitu dari hari Isnin hingga Ahad. Menurut perancangan, Ahmad akan bertolak dari Shah Alam pada hari Isnin dan akan bertolak pulang dari Kota Bahru pada hari Ahad. Jadi tempoh sebenar Ahmad berada di Kota Bahru ialah 5 hari setelah tolak hari pergi dan pulang. Menurut kiraan tersebut, Ahmad secara otomatik telah berniat bermukim di Kota Bahru iaitu lebih dari 3 hari. Dengan ini, setiba Ahmad di Kota Bahru beliau tidak boleh lagi solat musafir.

Situasi 2

Berlainan pula jika Ahmad akan bercuti di Kota Bahru selama 5 hari iaitu dari hari Isnin hingga Jumaat. Menurut perancangan, Ahmad akan bertolak dari Shah Alam pada hari Isnin dan akan bertolak pulang dari Kota Bahru pada hari Jumaat. Jadi tempoh sebenar Ahmad berada di Kota Bahru ialah 3 hari setelah tolak hari pergi dan pulang. Ini bermakna Ahmad masih lagi berstatus musafir meskipun sudah tiba di Kota Bahru kerana keberadaannya di sana kurang dari 4 hari.

APAKAH DALIL MAZHAB SYAFI’E TENTANG TEMPOH MUKIM BERDASARKAN 4 HARI?

Ia berdalilkan sepotong riwayat yg diriwayatkan di dalam Sahih Imam Bukhari dan Muslim (dengan lafaz Imam Muslim):
عن الْعَلَاءَ بْنَ الْحَضْرَمِيِّ، يَقُولُ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «لِلْمُهَاجِرِ إِقَامَةُ ثَلَاثٍ بَعْدَ الصَّدَرِ بِمَكَّةَ»، «كَأَنَّهُ يَقُولُ لَا يَزِيدُ عَلَيْهَا»
Maksudnya: Saidina al-‘Ala ibn al-Hadrami Radiyallahu ‘anhu berkata; “Aku mendengar Rasulullāh ﷺ bersabda’; “Mukim bagi Muhajir selama 3 hari di Mekah selepas kembali dari Mina”, ‘Seolah2 Baginda ﷺ menyatakan tidak lebih dari tempoh itu”.

Menurut Imam Ibn Hajar al-‘Asqolani di dalam Fathul Baari, hadith ini memberi maksud bahawa Nabi ﷺ melarang golongan Muhajirin –Radiyallahu ‘anhum- bermukim di Mekah sebelum pembukaan kota tersebut.

Menurut Imam an-Nawawi pula (juga dalam Fathul Baari), hadith ini menjelaskan bahawa Baginda ﷺ mengharamkan golongan Muhajirin bermastautin di Mekah.

Menurut Imam Ibn Hajar lagi:
ويستنبط من ذلك أن إقامة ثلاثة أيام لا تخرج صاحبها عن حكم المسافر
Maksudnya: Pengajaran yg boleh diambil dari itu (hadith), sesungguhnya menetap selama tiga hari tidak mengeluarkan seorang itu dari hukum musafir.
Berdasarkan hadith sahih di atas dan penjelasan dari kedua-dua imam menunjukkan bahawa tempoh menetap yg melebihi dari tiga hari (iaitu 4 hari dan ke atas) adalah tempoh yg tidak melayakkan seseorang menjadi seorang musafir.

Hadith dikuatkan lagi dgn tindakan Sayyidina Umar al-Khattab Radiyallahu ‘anhu yg tidak membenarkan golongan kuffar ahli zimmah menetap di bumi Hijaz dan beliau membenarkan para peniaga dari kalangan ahli Zimmah menetap selama tiga hari sahaja. (Rujuk: al-Talhis al-Habir)

Selain itu sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam al-Muwatta’ (Rowahu Muhammad ibn al-Hasan) bahawa Sayyidina Umar membenarkan golongan Yahudi dan Nasrani berada di Madinah selama tiga hari untuk mendapatkan keperluan mereka dan tidak boleh seorang di antara mereka menetap lebih dari tempoh tersebut. (Rujuk: Ifadah al-Raghibin)
Tindakan Sayyidina Umar menunjukkan bahawa beliau tidak mahu golongan kuffar bermukim dan menetap di Tanah Haram, lalu beliau hanya membenar golongan ini dalam keadaan musafir sahaja.
Inilah dalil yang menjadi asas Imam as-Syafi’e Radiyallahu ‘anhu dalam menentukan tempoh permukiman.

BAGAIMANA PULA RIWAYAT NABI ﷺ PERNAH MENQASARKAN SOLAT LEBIH DARI 3 HARI?

Sememangnya terdapat riwayat sahih yg menunjukkan Baginda ﷺ pernah menqasarkan solat ketika musafir lebih dari 3 hari. Ini seolah2 pada zahirnya, mazhab Syafi’e bertentangan dgn Sunnah. Riwayat yg dimaksudkan ialah:
عن عمران بن حصين رضي الله عنه قال: “غزوت مع رسول الله  صلى الله عليه وسلم ، وشهدت معه الفتح، فأقام بمكة ثماني عشر ليلة، لا يصلي إلاّ ركعتين”. رواه أبو داود
Maksudnya: Sayyidina Imran ibn Husain Radiyallahu ‘anhu berkata; “Kami pergi berperang bersama-sama Rasulullah ﷺ dan aku menyertai Baginda ﷺ ketika pembukaan kota Mekah, lalu Baginda ﷺ menetap di Mekah selama 18 hari dan Baginda ﷺ tidak mengerjakan solat melainkan dua rakaat (qasar)”. (Hadith rowahu Imam Abu Dawud)

Pendirian mazhab Syafi’e mengenai hadith ini, apabila seseorang berniat tinggal di sesuatu tempat yg TIDAK PASTI TEMPOH MENETAP di sesuatu tempat kerana MELAKUKAN TUGAS YANG BELUM TENTU TAHU BILA SELESAINYA, maka dia boleh menqasarkan solat sehingga 18 hari tidak termasuk hari pergi dan pulang. 
Berdasarkan hadith di atas, Rasulullāh ﷺ telah menetap selama tempoh tersebut pada tahun pembukaan kota Mekah kerana memerangi puak Hawazin dan Baginda ﷺ menqasarkan solatnya kerana Baginda ﷺ tidak pasti berapa lama Baginda ﷺ terpaksa tinggal di situ. (Rujuk: al-Fiqh al-Manhaji atau Ifadah al-Raghibin)

Isu ini juga dijelaskan oleh Imam an-Nawawi di dalam ‘Minhaj al-Tolibin’:
ولو أقام ببلد بنية أن يرحل إذا حصلت حاجة يتوقعها كل وقت قصر ثمانية عشر يوما, وقيل: أربعة، وفي قول: أبدا.
Maksudnya: “Jika seseorang menetap di sebuah negeri dgn niat bahawa dia akan meninggalkan (negeri itu) jika tercapai hajatnya (selesai sesuatu urusan) seperti yg dijangkakan, maka dia boleh qasar setiap waktu selama 18 hari. Ada pendapat lain selama 4 hari, juga terdapat qaul menyatakan selama-lamanya.”

Walaubagaimana pun, pendapat yg muktamad di dalam Mazhab as-Syafi’e ialah tidak lebih dari 18 hari iaitu tidak termasuk hari pergi dan pulang. Hukum keringanan ini (jamak dan qasar selama 18 hari) hanya untuk sesiapa yg tidak tahu atau tidak pasti berapa lama dia akan berada di sesuatu destinasi kerana urusan belum pasti selesai.

Sebagai contoh: Ali mengidap satu penyakit dan penyakit ini hanya boleh dirawat di Singapura. Tempoh rawatan itu tidak boleh dipastikan oleh doktor pakar perubatan. Lalu Ali pergi bermusafir ke Singapura dalam keadaan tidak pasti berapa lama di akan menetap di Singapura kerana bergantung kepada tempoh rawatan yang tidak pasti. Jadi dalam situasi ini, Ali boleh menqasar solatnya selama 18 hari tidak termasuk hari pergi dan pulang.

Wallahu a’lam

Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

 
%d blogger menyukai ini: